Ulasan Buku: Cerita Korea Kami

Assalamualaikum

Ini buku yang ketiga aku baca. Cerita Korea Kami oleh Ummu Hani Abu Hassan, Norhayati Abu Bakar, Hanafi Sarif dan Ahmad Fouad. Iya. Buku ini mempunya 4 orang penulis yang pernah menetap di Korea.

Saya mengenali Ummu Hani secara maya dengan membaca tulisan beliau di Universiti MKI. Saya memang suka ceritanya di sana. Malangnya, mungkin beliau sibuk dengan tugasan seharian menyebabkan jarang tulisan beliau dipaparkan di sana. Disebabkan nama beliau ada di dalam buku tersebut, saya pun mencubalah untuk membeli. 

1. Penulis Pertama - Ummu Hani
Disebabkan perkara di atas, saya sangat menyenangi gaya bahasa dan penulisan beliau. Simple tetapi menyerap masuk ke dalam jiwa. Sesuatu cerita akhirnya dikaitkan dengan kebesaran Tuhan. Selain itu, saya dapat memahami sesuatu perkara dari sudut pandang yang berbeza. Kadang kala apabila bermusafir, kita selalunya melihat sesuatu perkara yang tersurat je. Jarang kita memikirkan perkara yang tersirat. Ini yang menyebabkan saya suka sangat dengan penceritaan beliau.

Sebagai contoh, beliau menceritakan pengajaran tentang sampah. Bagaimana sampah diuruskan di negara Kimchi ini. Mesti diasingkan mengikut jenis, di dalam plastik yang tentu juga. Malah, bagi barang tertentu seperti peralatan elektrik perlu mendapat kebenaran bertulis. Jika tidak, denda akan dikeluarkan. Dan pelbagai jenis peraturan/undang-undang lain yang mana ia membina bangsa itu sendiri. Pastinya apabila ada undang-undang, penguatkuasaannya juga agak tegas yang telah menyebabkan rakyatnya patuh kepada segala peraturan yang telah ditetapkan.

Rakyat Korea juga sangat berkiblatkan Amerika, atau sebenarnya lebih Amerika dari Amerika sendiri. Remajanya sanggup berhabisan melakukan pembedahan plastik untuk 'membesarkan mata'. Mereka tidak yakin bermata sepet. Bagi lelaki pula, sangat menjaga penampilan. Malah ramai yang memakai bb cream. Hehe

Sebenarnya banyak lagi cerita Korea dari sisi yang lain yang sedikit sebanyak dapat membuka mata dan hati kita untuk lebih memahami bangsa Korea. Walaupun saya tidak pernah menjejak kaki lagi ke sana, saya sudah dapat membayangkan betapa Korea di arus pembangunan yang sangat pesat.

2. Penulis Kedua - Norhayati
Penulisan Pn Yati ini hampir sama dengan Ummu. Mudah dan senang difahami lenggok bahasanya. Cumanya, dia datang melancong ke Korea melawat anaknya di sini. Maka, penulisan beliau adalah berdasarkan pembacaan/kajian sendiri dan pemandangan mata hati beliau. Di dalamnya, disertakan juga panduan yang berguna jika ingin melawat Korea.

3. Penulis Ketiga - Hanafi
Merupakan bekas pelajar di Korea. Beliau memang berminat dengan tulisan kreatif. Membacanya saya dapat mengetahui beliau masih baru dalam bidang ini tetapi tetap mempersonakan. Perkara yang melekat di hati saya adalah persepsi beliau terhadap pokok gingko. Di mana seorang wanita Korea menyatakan kepadanya "manusia hanya menilai sesuatu dari luaran saja. dari jauh, apabila melihat pokok gingko cantik, mereka hampiri. apabila mendapati baunya busuk, kamu tinggalkan. kemudian, apabila mengetahui buahnya yang berbau busuk itu mempunyai banyak khasiat, kamu dekati semula".
Mendalam bukan. Saya teringin sangat nak menikmati pemandangan pokok gingko yang dikatakan berada di seluruh Korea terutamanya pada musim luruh.

4. Penulis Keempat - Ahmad Fouad
Penulis yang seorang ini sangat istimewa. Beliau menyambung pengajian di Korea. Apa yang istimewanya? Tulisan beliau sangat humor. Kelakar habis..setidak-tidaknya saya lah yang terhibur. Dalam penuh humor pastilah terselit pandangan sinis beliau terhadap sesuatu perkara. Tidak berhenti saya ketawa sampai anak saya asyik bertanya kenapa gelak..kenapa gelak. Arrrghhh dia masih tak faham kenapa baca buku perlu ketawa.
"Bahu aku tersentuh bahu makcik di kiri aku. Sentuhan yang amat lembut ibarat pelepah burung jatuh ke atas bantal. Namun tindak balas makcik itu luar biasa. Ibarat pemain ragbi merempuh pemain yang cuba merampas bola darinya. Aku dikasari secara tidak langsung. Aku terasa diri aku begitu jijik sehingga diperlakukan sebegitu rupa".
Selepas membaca buku ini, saya cuba mencari buku tulisan beliau jika ada. Tetapi hampa. Sangat berharap beliau teruskan menulis sebab saya SUKAAAAAA.


Secara keseluruhannya, saya sangat menyenangi buku ini yang berharga RM25 (juga ada diskaun 15%) dengan 251 mukasurat. Rasa tidak puas membacanya. Saya mencadangkan anda membaca buku ini. Terbaik.

Muka depan buku - si comel itu la ummu hani
Kertas yang berkualiti dan cantik ada bunga-bunga

Muka belakangnya.

Popular posts from this blog

Casa Titik, Cherating

Menawan Gunung Angsi, Ulu Bendul Negeri Sembilan

MyMakan dan MeatBall & Co di Ayer@8